Kolej Univeristi Perguruan Ugama Seri Begawan
oleh UPA, BPAA Khamis, 8 Februari 2007 - Kolej Univeristi Perguruan Ugama Seri Begawan yang akan menjadi satu mercu tanda dibidang perguruan agama di Negara ini akan memulakan kursus pertamanya pada bulan Ogos tahun 2007 dengan menawarkan kursus peringkat Diploma Perguruan Ugama yang bertaraf Diploma Tinggi Kebangsaan (HND) dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama. Penaik-tarafan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang telah selama lebih tiga dekat mengeluarkan Persijilan dalam bidang Perguruan Ugama kepada Kolej Universiti telah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Awal Tahun Hijrah 1428 pada bulan Januari lalu. Ke arah itu, dalam usaha merealisasikan hasrat dalam Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia supaya tahap profesion perguruan dan pembelajaran ugama di negara ini ditingkatkan, Kementerian Hal Ehwal Ugama kini sedang giat menyusun dan mempersiapkan segala keperluan mengenainya. Pada pengambilan pertama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dijangka seramai sekitar 60 – 90 orang pelajar akan mengikuti Program Perguruan Agama di Peringkat Diploma dan Ijazah. Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada peringkat awal pengajian akan menggunakan kampus Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang ada pada masa ini iaitu yang terletak di Jalan Tutong manakala tenaga pengajar akan menggunakan pensyarah tempatan dan luar negara yang pada masa ini sedang diatur dan diusahakan. Kelulusan yang diperlukan bagi kemasukan ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan bagi program Ijazah Perguruan ialah sekurang-kurangnya ‘A’ Level atau Sijil Tinggi Perguruan Ugama (STPU). Program di peringkat Ijazah akan ditawarkan kepada ‘fresh student’ dan juga mereka yang sudah berkhidmat di bidang perguruan sekian tahun yang mempunyai kelulusan STPU dan ‘A’ level. Lepasan Sijil Maktab Perguruan yang sudah berkhidmat sekian tahun pula boleh mengikuti program Perguruan di peringkat Diploma. Iklan tawaran dan maklumat terperinci mengenai kemasukan ke Kolej Universiti ini akan dikeluarkan kemudian. Kursus-kursus perguruan ugama peringkat diploma dan ijazah yang akan ditawarkan oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan itu nanti Insya Allah akan melatih dan menyediakan guru-guru ugama dan tenaga-tenaga bagi perkhidmatan ugama yang memiliki kualiti yang diperlukan. Ini amat bersesuaian dengan keperluan yang semakin nyata agar Negara Brunei Darussalam tidak akan ketandusan guru-guru ugama yang berkelayakan dari segi profesionnya dan menguasai bidang-bidang ilmu ugama dengan lebih mantap. Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda melahirkan aspirasi agar Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang telah berjaya melahirkan seramai 3697 orang guru ugama terlatih untuk bergerak ke tahap yang lebih tinggi lagi, iaitu tahap untuk memiliki kualiti yang diperlukan. Kolej tersebut mempunyai keunikan serta keistimewaan tersendiri memandangkan ia adalah sebuah kolej universiti perguruan ugama. Kolej tersebut berorientasikan keguruan dan keugamaan dengan objektif utama untuk mengeluarkan guru yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah Baginda iaitu guru-guru yang akan menjadi sumber ilmu dan juga pembina akhlak. Falsafah dan haluan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan itu akan berasaskan kepada keguruan dan keugamaan untuk melahirkan tenaga-tenaga yang memiliki kualiti yang diperlukan dan tidak akan dicampur-adukan dengan yang lain-lain sebagaimana yang ditekankan oleh Kebawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan dalam titah Baginda mengumumkan kenaikan taraf Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan ke taraf kolej universiti yang dinamakan Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan.
|