|
24hb Jamadilawal 1426 MENGIBAR BENDERA MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah An-Nisaa' ayat 59 yang tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulul Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."
Dalam agama Islam, perlantikan raja atau ketua negara dalam sesebuah negara itu adalah menjadi kewajipan kepada semua orang Islam. Tujuan melantik raja itu adalah untuk menjaga perjalanan pemerintahan negara dan agama. Sebagai contoh apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam wafat, maka langkah utama yang dilakukan oleh umat Islam ialah melantik seorang khalifah sebagai ganti Baginda. Setelah lantikan dilakukan barulah jenazah Baginda dimakamkan. Tanpa berbuat demikian akan banyak perkara wajib tergendala. Prosedur inilah yang menjadi contoh ikutan kepada semua negara Islam.
Jika kita perhatikan sejarah pada zaman pemerintahan Islam sejak Bani Umaiyah hinggalah ke zaman Usmaniah, apabila seorang raja ditabalkan atau ketua negara dilantik, terdapat tiga perkara yang menjadi amalan iaitu:
Pertama: Nama raja itu disebut di dalam khutbah Jumaat dan mendoakannya dengan perkara yang baik-baik dengan tujuan apabila raja yang memerintah itu baik, maka dengan sendirinya negara dan rakyat menjadi baik.
Kedua: Nama raja juga akan dimeteraikan pada mata wang emas dan perak yang dibuat pada zaman pemerintahannya.
Ketiga: Bagi Kerajaan Usmaniah pula, apabila seorang Sultan Usmani naik takhta, maka baginda akan menyandang pedang yang diwariskan dari zaman pemerintahan Sayidina Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu.
Di Negara Brunei Darussalam, sistem pemerintahan beraja telah wujud sekian lama di mana raja adalah menjadi kepala negara yang memegang tampuk kerajaan, kedudukannya inilah yang perlu dihormati dan ditaati. Sebagai rakyat yang taat dan kasih kepada raja, maka adalah munasabah bagi seseorang rakyat itu mengenali rajanya, contohnya mengetahui salasilahnya dan tarikh keputeraannya dan bermacam-macam lagi. Di samping itu adalah menjadi kewajipan setiap rakyat untuk mematuhi dan menerima segala arahan kerajaan selagi arahan yang diberikan itu berupa kebaikan dan tidak menyalahi hukum syarak.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Dari Abdullah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Mendengar dan taat kepada ketua adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, tiadalah boleh mendengar dan taat."(Riayat Al-Imam Al-Bukhari).
Sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam lagi maksudnya:
"Dari Ibnu Abbas Radiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Sesiapa bencikan sesuatu daripada ketuanya maka hendaklah ia bersabar, kerana sesiapa yang tidak mentaati perintah Sultan walaupun sejengkal, lalu ia mati, maka kematiannya seperti kematian orang-orang yang di zaman jahiliah."(Riwayat Al-Imam Muslim).
Tidak lama lagi kita akan menyambut perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-59 Tahun, di mana pada kelazimannya penduduk di negara ini diarahkan untuk mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Arahan mengibarkan bendera kebangsaan di hari-hari perayaan adalah sebagai memeriahkan sambutan perayaan dan sebagai tanda taat setia kita kepada raja dan negara.
Sebagaimana yang kita ketahui, setiap negara di dunia ini mempunyai bendera masing-masing dengan warna yang berlainan dan pengertian serta tafsirannya yang tersendiri dalam mencerminkan aspirasi atau cita-cita dan budaya bangsa berkenaan. Negara kita Brunei Darussalam, mempunyai bendera berwarna kuning, putih, hitam dengan di tengah-tengahnya terdapat panji-panji negara berwarna merah yang bertulis perkataan bahasa Arab yang berbunyi ertinya:
"Sentiasa membuat kebajikan atau kebaikan dengan petunjuk Allah."
Kata-kata yang termaktub pada panji-panji tersebut mengandungi erti yang mendalam dan penuh bermakna, antaranya ialah sentiasa berkhidmat, berbakti, berjasa kepada agama dan negara dengan bimbingan serta petunjuk Allah Subhanahu Wataala. Kata-kata ini amat relevan dijadikan sebagai konsep hidup dalam berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara dan tepat dengan agama rasmi negara ini iaitu agama Islam dengan berfalsafahkan Melayu Islam Beraja.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang tafsirnya:
"Katakalah kepada mereka sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar".
Bendera merupakan lambang perpaduan rakyat di sesebuah negara walaupun terdapat perbezaan agama, keturunan, bangsa dan fahaman, tetapi tetap berada di bawah naugan seorang raja atau ketua negara yang satu. Perpaduan menjamin keselamatan dan mewujudkan kemakmuran dan pembangunan. Oleh kerana bendera merupakan lambang dan simbol negara, maka oleh sebab itu kita sebagai rakyat seharusnya menghormati bendera kita sebagai salah satu tanda cintanya kita kepada negara, kerana cinta kepada negara itu adalah sebahagian daripada iman.
Maka bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-59 Tahun pada 15 Julai 2005 ini, maka marilah kita selaku rakyat dan penduduk negara ini sama-sama mengibarkan bendera bermula pada 1 Julai 2005 sebagai tanda ketaatan dan kesetiaan kita kepada raja dan negara.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nisaa' ayat 59 yang tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulul Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya".
|