|
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat. Muslimin yang dirahmati Allah, Sememangnya manusia itu tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan samada yang dilakukan secara senghaja ataupun tidak. Namun sebagai umat Islam kita hendaklah segera menyesali dan menginsafi segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan iaitu dengan bertaubat kepada Allah Subahanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pengampun, sentiasa memberikan hamba-hamba-Nya peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan menyelamatkan mereka dari terus bergelumang dengan dosa. Taubat merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Cuba kita bayangkan sedangkan Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam seorang yang maksum yakni terpelihara daripada sebarang dosa lagi bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Subahanahu Wata'ala, betapa pula kita yang hidup di zamam yang penuh dengan cabaran, yang menguji keimanan dan ketaatan kita terhadap perintah Allah Subahanahu Wata'ala. Oleh itu sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa bertaubat dan segera memohon keampunan kepada-Nya, firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah An-Nuur ayat 31 tafsirnya: "Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya" Muslimin yang dirahmati Allah, Ketahuilah bahawa orang-orang yang bertaubat itu terbahagi kepada beberapa golongan: Pertama: Orang yang melakukan dosa yang bertaubat kepada Allah Subahanahu Wata'ala dan terus berpegang teguh pada taubatnya sampai akhir hayatnya. Kedua: Orang yang bertaubat dan mempunyai pendirian yang kuat dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah Subahanahu Wata'ala dan meninggalkan kemungkaran-kemungkaran besar, cuma dia tidak terlepas dari melakukan kesalahan-kesalahan kecil, walaupun ia telah mencuba untuk tidak melakukannya, dan setiap kali ia melakukan kesalahan, ia akan mencela dirinya, menyesal dan memperbaiki niatnya. Golongan ini samalah seperti yang digambarkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala di dalam surah An-Najm ayat 32 tafsirnya: "Iaitu orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan, sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas Keampunannya" Ketiga: Orang yang bertaubat dan terus berpegang pada Tuhannya dalam beberapa waktu, kemudian ia kembali melakukan dosa kerana nafsu dan lemah imannya. Setelah melakukan dosa ia memohon ampun kepada Allah agar diberi keampunan dan berhenti melakukan dosa, akan tetapi kemudian dia tergoda lagi untuk melakukan dosa dan ia bertaubat lagi. Keempat: Orang yang melakukan dosa lalu bertaubat dalam waktu yang singkat, kemudian ia kembali melakukan dosa tanpa melakukan taubat dan juga tidak merasa menyesal atas perbuatannya itu. Orang seperti ini disebutkan sebagai orang yang terjerumus dalam kemunkaran. Setelah kita mengetahui jenis-jenis taubat, maka sudah pasti kita dapat memilih taubat yang mana satukah yang ingin dilakukan agar dosa kita diampunkan oleh Allah Subahanahu Wata'ala. Namun perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucap kalimah istigfar sahaja. Terdapat beberapa syarat supaya taubat kita diterima oleh Allah Subahanahu Wata'ala, para ulamak berkata bahawa dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba terhadap Allah dan tidak berhubung dengan manusia, maka terdapat tiga syarat: Pertama: Meninggalkan perbuatan maksiat tersebut. Kedua: Menyesali perbuatan yang telah dilakukan. Ketiga: Bertekad kuat untuk tidak kembali mengulanginya selama-lamanya. Maka apabila salah satu dari tiga syarat taubat tadi tidak ada, maka taubatnya belum dikatakan benar. Manakala apabila dosa yang dilakukan sesama manusia lainnya, maka ada empat syarat yang mesti dilakukan oleh mereka, di mana tiga syarat sama seperti dosanya kepada Allah, dan satu lagi hendaklah ia membebaskan hak pemiliknya, contohnya seseorang telah menyebabkan orang lain berkecil hati atau marah, maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang disakitinya itu, atau jika ia melibatkan harta, maka hendaklah dia mengambalikannya. Selain itu para ulamat juga telah menjelaskan bahawa antara lain syarat taubat itu ialah dorongan bertaubat itu hendaklah semata-mata kerana Allah Subahanahu Wata'ala atau pun kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan suatu yang keji dan dosa ataupun kerana takut kepada azab Allah Subahanahu Wata'ala di hari kiamat kelak. Sebaliknya taubat yang dilakukan kerana takut kemudaratan akan menimpa dirinya, kehormatannya atau hartanya jika tidak bertaubat, maka demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras disebabkan takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian bukan dinamakan sebagai taubat. Begitu juga menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka yang demikian itu juga tidak dinamakan sebagai taubat. Oleh itu taubat mestilah lahir daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah Subahanahu Wata'ala semata-mata bukan kerana yang lain-lain. Muslimin yang dirahmati Allah, Islam telah mengajar kira cara untuk membersihkan jiwa agar tidak terjebak kembali melakukan dosa setelah bertaubat. Antaranya ialah dengan menghindari dari tempat-tempat maksiat iaitu tempat yang boleh mendorong ataupun mempengaruhi mereka untuk melakukan perbuatan maksiat dan dosa. Selain itu kita juga hendaklah bijak memilih kawan yang baik dan menghindari kawan yang tidak baik, kerana memang tidak dinafikan bahawa kawan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kawannya yang lain. Seorang kawan daripada golongan orang yang baik akhlak, orang yang soleh, mereka akan dapat membimbing ke jalan yang benar, merekalah yang akan menegur, memberi nasihat dan panduan jika terleka dengan duniawi dan menlanggar perintah Allah Subahanahu Wata'ala. Seterusnya kita hendaklah sentiasa berjuang melawan pujukan syaitan kerana syaitan adalah musuh utama yang sentiasa berusaha menyesatkan umat manusia. Oleh itu, bagi orang yang ingin mencapai taubat nasuha perlulah dia sentiasa berusaha melawan segala bisikan dan pujuk rayu syaitan. Terdapat dua cara untuk melakukannya, iaitu menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah Subahanahu Wata'ala dan sentiasa memohon perlindungan kepada Allah Subahanahu Wata'ala supaya dihindarkan daripada syaitan dan segala kejahatan. Inilah yang diamalkan oleh orang-orang yang bertakwa. Firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 201 tafsirnya: "Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat kepada ajaran Allah, maka dengan itu mereka nampak jalan yang benar". Selain itu juga, kita hendaklah sentiasa mengingatkan diri kita bahawa kita ini sentiasa berada dalam pengawasan Allah Subahanahu Wata'ala. Dengan cara ini kita akan sentiasa takut untuk melakukan kesalahan dan maksiat. Muslimin yang dirahmati Allah, Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertaubat. Allah Subahanahu Wata'ala akan menerima taubat orang-orang yang benar-benar memohon keampunan daripadanya. Maka sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa dan maksiat, marilah kita muhasabah diri kita dengan melazamkan diri dengan beristiqfar dan bertaubat memohon ampun kepada Allah Subahanahu Wata'ala pada setiap masa dan ketika, tidak kira dikala kita susah mahupun senang, kerana ajal itu pasti akan tiba. Apabila ajal seseorang itu sudah sampai, maka taubat tidak akan diterima lagi. Akhirnya, sebagai hamba Allah yang sentiasa mengharapkan redha-Nya dan pengampunan-Nya, marilah kita memohon ampun kepada Allah Subahanahu Wata'ala di atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Mudah-mudahan dengan demikian Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa kita dan memasukkan kita ke dalam syurga dengan rahmat-Nya jua. Amin Ya Rabbal Alamin. Surah Al-Qashash ayat 16 tafsirnya: "Ia merayu dengan sesalnya: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menaniaya diri sendiri: Oleh itu ampunkanlah – apalah jua kiranya – akan dosaku". Maka Allah Taala menerima taubatnya lalu mengampunkan dosanya. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi".
|