|
MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat. Muslimin yang dirahmati Allah, Agama Islam sangat mengambil berat seawal kebersihan kerana ianya berkait rapat dengan kesihatan dan kesejahteraan dalam menjalani kehidupan. Kesihatan ialah suatu nikmat yang perlu disyukuri oleh semua orang. Oleh itu juga sering dikatakan bahawa memiliki tubuh badan yang sihat adalah lebih berharga daripada harta yang banyak. Melihat betapa kesihatan berkait rapat dengan kebersihat, maka agama Islam amat menitikberatkan umatnya supaya menjaga kebersihan, baik rohani mahupun jasmani. Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala amat suka kepada orang yang sentiasa dalam keadaan bersih sebagaimana firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 222 tafsirnya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri". Muslimin yang berbahagia, Menjaga kebersihan rohani dan jasmani banyak memberi manfaat kepada diri seseorang. Melalui kebersihan rohani boleh menjadikan kita insan yang berakhlak mulia dan berkeperibadian terpuji, manakala menjaga kebersihan jasmani boleh menghindarkan diri dari mendapat penyakit. Ini kerana kekotoran merupakan antara punca penyebab terjadinya penyakit. Oleh itu kita tidak boleh mengabaikan aspek kebersihan, samada kebersihan diri, makan minum, pakaian, tempat tinggal dan juga tempat-tempat awam. Dalam hal ini Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam menekankan bahawa amalan kebersihan itu merupakan separuh dari iman sebagaimana sabda baginda maksudnya: "Dari Abi Malik Ashari berkata: Sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam: Kebersihan itu sebahagian daripada iman". Dalam kita memperkatakan tentang menjaga kebersihan diri, antara perkara penting yang turut kita ambil perhatian dan menjaganya dengan baik adalah kebersihan mulut dan gigi. Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam sangat menitik beratkan penjagaan dan kebersihan gigi, kerana itulah baginda menggalakkan umatnya bersiwak atau mengosok gigi terutama sekali ketika hendak melakukan ibadah. Sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam maksudnya: "Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu berkata: Sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam bersabda: Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku dan manusia, nescaya aku perintahkan mereka menggosok gigi setiap kali hendak mendirikan sembahyang" Bersiwak sebelum mengerjakan sembahyang merupakan amalan yang baik dilakukan lebih-lebih lagi jika sembahyang itu dikerjakan secara berjemaah, apatah lagi jika seorang itu telah memakan suatu yang berbau seperti bawang putih dan seumpamanya, yang boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada jemaah lain. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, dari Abdul Aziz Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam bersabda maksudnya: "Barangsiapa makan dari pokok ini yakni bawang putih, maka janganlah mendekati kami, dan janganlah bersembahyang bersama kami" Imam Nawawi turut menegaskan dalam kitab Sahih Muslim Bashrah Nawawi bahawa bersiwak itu sunat dilakukan pada setiap waktu, lebih-lebih lagi sunat dilakukan pada lima keadaan iaitu ketika hendak menunaikan sembahyang samada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak membaca Al-Quran, ketika baru bangun dari tidur dan juga ketika bau mulut berubah disebabkan tidak makan dan minum, atau kerana memakan benda yang berbau busuk, atau kerana lama tidak bercakap atau kerana banyak bercakap dan lain-lain. Bahkan ganjaran bagi sembahyang orang yang bersiwak adalah lebih afdal daripada ganjaran sembahyang orang yang tidak bersiwak, Muslimin yang dirahmati Allah, Bersiwak atau menggosok gigi bukan setakat untuk menjaga dan menguatkan gigi, membersihkan kotoran dan menghilangkan bau mulut sahaja, tetapi bersiwak turut memberi kesan terhadap rohani diri seseorang. Para ulamak ada menegaskan bahawa amalan bersiwak atau menggosok gigi itu mempunyai banyak faedah antaranya orang yang bersiwak itu akan mendapat keredhaan Allah Subahanahu Wata'ala, meningkatkan daya kecerdikkan akal fikiran, menguatkan hafalan, menyerikan air muka, memudahkan keluar nyawa ketika nazak, dimurahkan rezeki, menghilangkan segala penyakit di dalam kepala, dimakbulkan doa, dilambatkan tumbuh uban dan banyak lagi. Selain itu, perubatan moden juga mengakui bahawa amalan bersiwak atau menggosok gigi dapat mencegah kerosakkan gigi dan gusi serta menjauhkan diri penyakit yang berkaitan dengan penyakit mulut. Dari segi impak kesihatan pula keadaan kesihatan dan penyakit yang berkaitan dengan penyakit mulut adalah seperti penyakit jantung, strok, kencing manis, kanser mulut serta kelahiran anak damit yang tidak cukup bulan dan kurang berat badan. Oleh itu bagi memperolehi kesihatan yang baik serta mendapat kelebihan dan faedah dari amalan bersiwak, maka jadikanlah itu sebagai amalan harian. Muslimin yang dirahmati Allah, Memandangkan kebersihan gigi mempengaruhi kesihatan fizikal dan rohani seseorang, maka sudah sewajarnya kita menjaga gigi dengan baik kerana pengabaiannya boleh memudaratkan kesihatan bahkan turut membebankan dari segi kewangan, khususnya kepada pihak kerajaan yang telah membelanjakan jutaan ringgit bagi membiayai kos perkhidmatan pergigian di negara ini. Kita sedar bahawa dengan jumlah tersebut boleh dimanfaatkan kepada perkara-perkara lain yang lebih utama. Oleh itu kita bantulah pihak kerajaan bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung dengan menjaga kebersihan dan kesihatan diri sendiri. Akhirnya marilah kita menggamalkan kebersihan pada setiap masa, baik dari sudut rohani dan jasmani, termasuklah dalam penjagaan membersihkan gigi dan mulut. Semoga kita memperolehi kesihatan yang baik dan seterusnya dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna dan dapat menjalankan kehidupan seharian dengan aman dan tenteram. Amin Ya Rabbal Alamin. Surah Asy Syams ayat 9-10 tafsirnya: "Sesungguhnya berjaya orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih dengan iman dan amal kebajikan. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat"
|