|
04hb Zulhijjah 1428H KELEBIHAN BERSELAWAT Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah, MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita merasa bersyukur dan sangat beruntung kerana dilahirkan di dunia ini sebagai umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda telah membawa kita keluar dari kejahilan kepada jalan kebenaran yang berpandukan ajaran agama Islam. Jasa Baginda dalam menyebarkan ajaran agama Islam sangatlah besar. Baginda berkorban apa saja agar umatnya dapat hidup di jalan yang selamat di dunia dan di akhirat. Kerana itu kita hendaklah sentiasa mengasihi Baginda dan mentaati segala ajarannya. Sememangnya terdapat banyak cara bagaimana untuk menunjukkan kasih sayang dan ketaatan kita kepada Baginda, antaranya ialah dengan berselawat ke atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Ahzab ayat 56 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".
Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya amalan berselawat kepada Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sangatlah besar faedah dan manfaatnya kepada kita semua kerana sesiapa yang berselawat akan mendapat ganjaran yang begitu banyak.
Adapun di antara ganjaran yang telah dijanjikan itu ialah orang yang berselawat akan memperolehi limpahan rahmat yang banyak daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Berselawat dapat menghilangkan kesusahan dan kegundahan yang dialami oleh seseorang, bahkan doa mudah diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Berselawat juga adalah sebagai ganti sedekah bagi orang yang tidak mampu bersedekah di samping mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Anas bin Malik ia berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang berselawat kepadaku dengan satu selawat maka Allah berselawat kepadanya dengan sepuluh selawat dan dengan selawatnya itu juga Allah memberikan sepuluh kebaikan kepadanya dan menghapuskan sepuluh keburukan". (Riwayat Al-Imam An-Nasaie)
Selain itu bagi orang yang membaca selawat setiap pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka mereka akan mendapat syafaat dari Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di hari akhirat kelak. Manakala bagi orang yang berselawat sebanyak seratus kali, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan melapangkan dadanya dan menerangkan hatinya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kita mengamalkan selawat, terdapat adab yang perlu kita ketahui terutama apabila menyebut nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam atau apabila mendengar orang lain menyebut nama Baginda. Adalah menjadi kebiasaan ulama salaf yang di antaranya ialah para ulama hadis, jika mereka menyebut atau mendengar nama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, mereka selalu berselawat dan bersalam kepada Baginda dengan lafaz Sallallahu Alaihi Wasallam atau Alaihissalatu Wasallam.
Para ulama hadis telah berwasiat agar selalu berusaha untuk menjaga kedua lafaz tersebut secara sempurna kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Hinanya seseorang yang ketika disebutkan namaku, dia tidak berselawat kepadaku". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Selain dari itu, kita juga dituntut untuk menyempurnakan selawat itu di dalam bidang penulisan. Adapun kesalahan yang selalu dilakukan ialah menulis dengan ringkas perkataan selawat itu dengan hanya menulis huruf S.A.W sebagai ganti kepada Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita hendaklah berusaha dengan melengkapkan selawat ketika menulis kerana ia bukanlah suatu perkara yang sukar.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kita digalakkan untuk berselawat pada bila-bila waktu di tempat-tempat yang sesuai. Namun terdapat beberapa waktu yang sangat dituntut untuk membaca selawat, antaranya setelah azan dilaungkan, ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar daripadanya, ketika hendak memulakan sesuatu urusan penting, pada waktu malam hari Jumaat dan siangnya, ketika berziarah ke makam Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, ketika telinga berdengung, pada tiap-tiap kali mengadakan majlis, ketika ditimpa kesusahan dan keresahan dan juga ketika hendak berdoa iaitu pada permulaan doa dan pada akhirnya.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa berselawat tidak hanya terbatas pada waktu dan keadaan yang tertentu sahaja seperti di dalam sembahyang, ketika berdoa, di dalam majlis-majlis tertentu atau pada hari memperingati kelahiran Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja, akan tetapi hendaklah berselawat pada bila-bila masa dan ketika. Adalah merupakan suatu kerugian yang nyata jika sekiranya kita tidak menjadikan selawat itu sebagai amalan kehidupan kita seharian. Apatah lagi memandangkan banyak kelebihan yang boleh kita dapati dari selawat, maka sudah sepatutnya kita berusaha merebut kelebihan-kelebihan tersebut sebanyak mungkin. Jangan lupa juga, ajarkanlah selawat kepada anak-anak supaya mereka juga terbiasa untuk berselawat.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga dengan amalan selawat tersebut dapat menjadikan kita Muslim yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya serta sentiasa mendapat rahmat dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Ahzab ayat 56 tafsirnya :
"Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berselawat memberi segala penghormatan dan kebaikan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".
|