|
28hb Jamadilakhir 1428H SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA Muslimin yang dirahmati Allah, MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di samping itu kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah kurnia-Nya yang tidak terhingga banyaknya kepada kita. Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan umur yang panjang kepada kita supaya dapat lagi kita menikmati kurniaan Allah itu dan membolehkan kita untuk mengerjakan amal ibadat dan segala suruhan-Nya sehingga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya di dunia dan di akhirat nanti serta sentiasa pula mendapat taufik dan hidayah ke jalan yang lurus.
Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat-Nya, kita semua dapat menikmati suasana kehidupan aman damai dan sejahtera di dalam sebuah negara yang kita cintai ini. Sesungguhnya kita amat bertuah menjadi rakyat negara ini yang mengamalkan cara hidup yang berlandaskan ajaran Islam dengan mempunyai seorang raja sebagai pimpinan dan ketua negara. Kita juga beruntung kerana negara kita mempunyai falsafah yang tersendiri iaitu 'Melayu Islam Beraja'.
'Melayu Islam Beraja' merupakan falsafah kenegaraan yang membawa erti bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara Melayu yang mengamalkan cara hidup dengan nilai-nilai luhur kebudayaan melayu yang berpandukan agama Islam sebagai agama rasmi negara menurut Akidah Ahli Sunnah Waljamaah, Mazhab Syafiee yang dihayati menjadi cara hidup yang lengkap, sempurna dan unggul. Manakala raja (sultan) pula menjadi pemerintah tertinggi negara. Sultan selaku pemimpin dan penaung kepada rakyat adalah memegang amanah Allah bagi menjalankan kuasa tertinggi memerintah negara.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, di negara kita Brunei Darussalam, sistem pemerintahan beraja telah wujud sekian lama di mana raja akan menjadi kepala negara yang memegang tampuk pemerintahan negara, kedudukannya inilah yang perlu dihormati dan ditaati. Sebagai rakyat yang berlindung di bawah naungannya sudah setentunya perlu mengenalinya, mengetahuinya, mengetahui salasilahnya dan tarikh keputeraan dan bermacam-macam lagi. Sebagai rakyat adalah menjadi tanggungjawab bagi menjunjung titah perintah baginda, selagi apa yang dititahkan berupa kebaikan dan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah An Nisaa' ayat 59 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulilamri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Dari Abdullah Radiallahuanhu, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Mendengar dan taat kepada ketua adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam sama ada yang disukainya dan yang tidak disukainya selagi ia tidak diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat, maka jika ia diperintahkan untuk membuat sesuatu maksiat maka tiadalah boleh mendengar dan taat". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Keistimewaan yang paling unik bagi Negara Brunei Darussalam ialah penerimaan dan penghormatan yang diberikan oleh rakyat dan penduduk terhadap institusi beraja. Ketaatan dan kesetiaan rakyat dan penduduk yang tidak berbelah bahagi kepada raja tidak perlu diminta-minta atau dipaksa-paksa kerana rakyat dan penduduk menyedari bahawa mentaati raja itu adalah merupakan satu kewajipan dan lebih-lebih lagi kita mempunyai seorang raja yang mengutamakan kebajikan rakyat, sentiasa dedikasi terhadap tugas, adil dalam mengambil sebarang keputusan atau tindakan dan yang paling penting baginda menjadikan Islam sebagai garis panduan dalam pemerintahan dan pentadbiran negara. Inilah istimewanya negara kita yang berpegang dengan falsafah Melayu Islam Beraja.
Sesungguhnya tanggungjawab memimpin negara bukanlah suatu tugas yang mudah dan ringan, tetapi tugas yang amat berat yang tidak dapat dipikul dan dijalankan secara bersendirian. Ianya memerlukan kepada sokongan, dukungan, penglibatan dan pengorbanan dari semua pihak khususnya pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Memandangkan kepada keperluan inilah diwujudkan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan dan dilantik pegawai-pegawai serta kakitangan kerajaan bagi membantu kerajaan dalam mentadbir, membangun dan memajukan negara.
Perlu diingat bahawa hasrat untuk mencapai kemajuan dan pembangunan itu memerlukan pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang komited melaksanakan tugas dan bertanggungjawab yang diamanahkan, bekerja dengan cekap, jujur, amanah, ikhlas, setia dan tanggungjawab. Ketahuilah bahawa tugas dan tanggungjawab itu adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan dan ia juga merupakan suatu adat kerana Allah Subhanahu Wata'ala akan memberikan ganjaran pahala kepada mereka yang menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Anfaal ayat 27 tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedang kamu mengetahui salahnya".
Dalam hal ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah bertitah pada 21 Disember 1981, antara petikan titah baginda :
"Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa adalah menjadi hasrat beta untuk mewujudkan sistem pentadbiran kerajaan beta yang efisien, jujur dan amanah. Kerajaan yang efisien, jujur dan amanah hanya akan dapat diwujudkan dan dijamin hidupnya sekiranya segenap pegawai-pegawai dalam kerajaan beta dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan cekap, jujur dan amanah disertai dengan ikhlas semata-mata kerana Allah untuk kebajikan negeri Brunei dan penduduk serta isi di dalamnya".
Dari petikan titah tersebut jelas menekankan peri mustahaknya sifat jujur dan amanah perlu ada pada setiap pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan. Dalam perkara ini, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tunaikanlah amanah kepada orang-orang yang mengamanahkan kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya kemajuan negara yang telah kita capai dan sedang kita nikmati selama ini adalah hasil kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta hasil sokongan dan dukungan dari semua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta.
Dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala dan berkat kepimpinan serta daulat baginda, Negara Brunei Darussalam terkenal dengan sebuah negara Islam yang aman damai dan mempunyai kestabilan politik serta ekonomi yang kukuh dan mantap. Semenjak baginda menaiki takhta pada tahun 1967, negara telah mengalami perubahan dan kemajuan yang pesat membangun hasil dari usaha baginda dalam menaikkan taraf negara untuk mampu bersaing dengan negara-negara yang membangun dan maju. Sehingga menjadikan Negara Brunei Darussalam seiring dengan negara-negara lain di dunia.
Muslimin yang diberkati Allah,
Sebagaimana yang kita sedia maklum, 15 Julai adalah tarikh bersejarah bagi negara serta seluruh rakyat dan penduduknya kerana pada tarikh itulah raja kita diputerakan. Dan pada tarikh itulah setiap tahun diadakan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Dan pada 15 Julai 2007 akan datang, genaplah usia baginda 61 tahun.
Oleh itu, sebagai menzahirkan rasa syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan taat setia kita kepada raja sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, maka marilah kita hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bagi sama-sama membaca Surah Yaa siin, tahlil dan doa kesyukuran pada petang esok, hari Sabtu 29 Jamadilakhir 1428 Hijrah bersamaan 14 Julai 2007 Masihi. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala semoga raja yang kita kasihi dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memimpin dan memerintah negara dengan petunjuk dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala dan negara kita akan terus aman makmur di bawah kepimpinan baginda. Amin ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 28 tafsirnya :
"Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi aulia-aulia (pemerintah) dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barang siapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali".
|