Alhamdulillah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana dapat sama-sama menghadiri Majlis Perasmian Pameran Pengajaran & Pembelajaran dan Pelancaran Buku-Buku Terbitan Terbaru Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sempena Majlis Konvokesyen Pertamanya Tahun 1432H/2011M. Peramba/saya juga sukacita mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Yang Mulia Dr Haji Abdullah bin Haji Awang Lampoh Timbalan Raes, Merangkap Dekan Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, selaku Pengerusi Majlis dan juga ahli-ahli Jawatankuasa Pameran Pengajaran & Pembelajaran dan Pelancaran Buku-Buku Terbitan Terbaru KUPU SB kerana menjemput peramba/saya hadir untuk menyempurnakan Majlis Perasmian pada pagi ini. Di kesempatan yang baik ini juga, Peramba/saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Fakulti Pendidikan, KUPU SB atas usaha dan inisiatif menganjurkan Pameran ini bagi sama-sama menyemarakkan lagi Majlis Konvokesyen Pertama KUPU SB ini. Hadirin-hadirat yang peramba/saya hormati sekalian. Tema Pameran Pengajaran & Pembelajaran pada pagi ini iaitu Perguruan Ugama Membentuk Syakhsiah Bangsa adalah sangat bersesuaian dan menepati matlamat KUPU SB dalam membentuk masyarakat dan bangsa yang berilmu, beramal dan bertaqwa, kerana ia memfokuskan kepada kerjaya profesion perguruan ugama yang merupakan salah satu bidang utama bagi merealisasikan wawasan Brunei 2035, di mana ia menekankan kepada keperluan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Oleh yang demikian, profesion perguruan ugama memainkan peranan penting dalam membentuk syakhsiah bangsa di mana para guru ugama berperanan sebagai pendidik, pembimbing dan pemimpin masyarakat khususnya generasi muda dalam mencorakkan kehidupan yang selamat dan sejahtera dengan semangat keislaman yang tulen dan kental. Maka dalam sama-sama merealisasikan wawasan Negara 2035, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, perlulah mempertingkatkan usaha bagi memartabatkan pengajian perguruan ugama ke arah melahirkan pendidik berjati diri melalui pengintegrasian ilmu, latihan, kajian, perkhidmatan, keterampilan dan teknologi berasaskan prinsip-prinsip Islam, Konsep Melayu Islam Beraja dan Falsafah Pendidikan Negara. Usaha-usaha seumpama ini, Insya Allah akan dapat melahirkan sumber tenaga manusia profesional sebagai hamba dan khalifah Allah yang berwibawa dalam pendidikan Islam. Para guru ugama juga disarankan supaya berusaha melengkapkan diri mereka selaku seorang Muallim, Murabbi, Muaddib dan Mursyid. Di samping itu mereka juga semestinya memiliki kriteria yang mantap yang merangkumi pengetahuan yang luas, keimanan yang kukuh, keikhlasan yang jitu, kemahiran yang tinggi termasuklah dalam bidang multimedia dan teknologi terkini, dan mempunyai semangat yang cekal untuk meningkatkan mutu prestasi dan kualiti pendidikan ugama. Pengisian kerohanian dan kemurnian jiwa adalah merupakan kekuatan paling utama yang perlu dimiliki oleh seorang guru ugama dalam melaksanakan amanah dan tugas ini. Jika semua ini sebati dan serasi dalam sanubari guru ugama itu, maka peramba/saya merasa optimis matlamat pendidikan ugama akan mencapai sasarannya. Hadirin dan hadirat yang peramba/saya hormati, Peramba/saya sangat gembira dengan perkembangan positif dan membanggakan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dalam usianya yang masih muda telah benar-benar berusaha untuk mengorak langkah mencapai misinya menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang bukan hanya menyediakan perkhidmatan dan latihan Perguruan Ugama yang berkualiti, malah menjadikannya sebuah pusat penyebaran ilmu melalui kajian, penulisan dan penerbitan. Peramba/saya difahamkan bahawa terdapat sepuluh buah buku, termasuk sebuah buku keluaran khas sempena Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan akan dilancarkan pada hari ini. Apa yang kita harapkan agar KUPU SB akan lebih giat dan pro-aktif lagi dalam memperkembangkan dan meluaskan hasil penerbitannya dari semasa ke semasa, terutama sekali penulisan yang berkaitan dengan bidang perguruan dan pendidikan ugama Islam. Pihak KUPU SB hendaklah merebut peluang yang sebaiknya melalui jalinan kerjasama yang padu dengan institusi-institusi pendidikan lain dari dalam dan luar negara dengan melakukan kajian dan projek penerbitan bersama. Di samping itu, diharapkan agar semua ahli akademik KUPU SB, akan dapat meningkatkan lagi upaya mereka untuk melakukan kajian dan penyelidikan dalam bidang pengkhususan masing-masing dan menyebar-luaskan hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan dan penerbitan kepada masyarakat umum. Mudah-mudahan dengan usaha ini akan dapat mengangkat KUPU SB menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan hanya sebagai Teaching University tetapi juga diiktiraf sebagai Islamic Education Research University di rantau ini. Di kesempatan ini, peramba/saya ingin merakamkan sekali lagi ucapan syabas dan tahniah kepada KUPU SB dan para pengkaji dan penulis yang menyumbangkan hasil penulisan mereka untuk terbitan-terbitan yang akan dilancarkan pada hari ini. Akhirnya, peramba/saya yakin dengan adanya Pameran Pengajaran & Pembelajaran ini akan menjadi wadah bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai program-program dan kursus-kursus yang ditawarkan di KUPU SB, di samping memperlihatkan aktiviti dan hasil pembelajaran para graduan di Kolej ini dalam menghasilkan pelbagai model pengajaran dan pembelajaran. Peramba/saya juga berharap dengan pelancaran terbitan-terbitan terbaru Kolej ini, akan lebih menyuntik semangat KUPU SB untuk terus lebih gigih meningkatkan kualiti dan kuantiti penerbitannya. Maka dengan melafazkan kalimah: بسم الله الرحمن الرحيم، والصلاة والسلام على رسول الله محمد صلى الله عليه وسلم Peramba/saya sukacita merasmikan Pameran Pengajaran dan Pembelajaran serta Pelancaran Buku-Buku Terbitan Terbaru KUPU SB Sempena Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan 1432H/ 2011M. |