Saya kira Pusat Dakwah Islamiah adalah merupakan salah sebuah jabatan yang terpenting di dalam Kementerian Hal Ehwal Ugama. Antara peranannya ialah:
1. Untuk meninggikan imej ugama Islam di Negara ini. 2. Untuk menyibarkan ajaran Islam di kalangan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam di Negara ini. 3. Untuk merealisasikan penghayatan berugama di Negara ini. 4. Untuk turut mendukung Islam sebagai ugama rasmi Negara ini. 5. Untuk turut mendukung falsafah Melayu Islam Beraja.
Apa yang patut kita hargai saya rasa Pusat Dakwah Islamiah telah pun memainkan peranannya dengan baik di Negara ini dalam mengembangkan dan menyibarkan ajaran Islam, di mana saya lihat Pusat ini bukan sahaja memberi penekanan kepada kuantiti tetapi juga kualiti, syabas Pusat Dakwah.Sebagai misal Pengislaman Penghulu Simpuk di Kg.Sukang, kemudiannya dikenali sebagai Haji Mohd Simpok bin O.K.Maharaja Setia Dian, saya kira adalah salah satu di antara kejayaan besar Pusat Dakwah. Begitu juga ramainya dengan saudara-saudara baru memeluk Islam dari setahun ke setahun dengan memberlkan kepada mereka kursus-kursus amali Islam adalah menjadl bukti yang jelas kejayaan Pusat ini. Walaupun begitu saya kira juga masih ada ruang-ruang di mana Pusat Dakwah perlu memberikan perhatian misalnya mengapakah kita kurang berjaya dalam usaha dakwah kepada etnik Tionghoa dan etnik Murut. Ini perlu dibuat kajian seberapa segera, dan di cari jalan untuk mengatasinya.
Setahu saya di antara faktor yang membawa kejayaan dalam berdakwah ialah:
1. Penguasaan bahasa sasaran, ini bermakna para pendakwah kita perlu mahir bahasa etnik yang dia hendak berdakwah. Kerana bahasa itu menjadi modal besar untuk dia boleh memberikan penjelasan sepenuhnya, soalnya ialah berapa orang kah para pendakwah kita yang mahir berbahasa Tionghoa dan bahasa Murut?
2. Faktor-faktor lain ialah isi, penyampaian isi, sosialisasi atau pergaulan dengan etnik yang hendak di dakwah, material dan menyediakan pendakwah yang berkelibar.
Selain itu, saya juga gembira mendapat tahu bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama khas nya Pusat Dakwah Islamiah telah mula menggunakan teknologi baru, ICT dan internet dalam usaha meningkatkan dakwah. Misalnya Kementerian Hal Ehwal Ugama sudah pun mempunyai websitenya sendiri yang telah ditubuhkan sejak tahun 2006. Melalui website ini orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai organisasi ini dan berbagai pengetahuan Islam lainnya. Hanya saya ingin menasihatkan website ini jangan dibiarkan lapok, seperti website sesetengah organisasi dalam Negara kita, tetepi hendaklah sentiasa dipantau, diteliti dan dikemaskini.Begitu juga sejak tahun 2006 itu kita sudah memiliki apa yang dipanggil e-Islam Informasi Kiosk di mana orang ramai boleh berinteraksi di sesetengah tempat, cuma saya ingin nasihatkan ianya diluaskan lagi penempatannya agar lebih banyak anggota masyarakat mendapat manfaat daripadanya.
Perkembangan yang juga menarik ialah adanya kerjasama Pusat Dakwah dengan melalui internet untuk mewujudkan program yang dinamakan: Net Radio, I-Talkdan, I-Sinar, Set Top Box, I-Muslim (yang semuanya berhubung dengan kuiz, soal jawab masalah ugama, takwim hijriah dan doa-doa pilihan, pemilihan nama-nama anak yang baru lahir, ceramah dan sebagainya). Satu lagi saya difahamkan yang ada dalam perancangan ialah "Mobile TV", Insya Allah perkara ini sedang diusahakan untuk direalisasikan.
Baru-baru ini saya juga mencadangkan supaya kebolehan para qari dan qariah kita yang telah mencapai kecemerlangan di dalam dan luar Negara itu dapat dimanfaatkan, supaya mereka dapat mempersembahkan bacaan AI-Quraan mereka ada setiap Hari Jumaat dekat dengan waktu sembahyang tersebut menerusi televisyen, disamping untuk mendapat keberkatan juga untuk memeriahkan lagi suasana hari Jumaat dan juga mendekatkan lagi para qari dan qariah kita dengan masyarakat, tidaklah hanya mendengar sekali sekala di majlis-majlis tertentu.
Begitu juga Forum Perdana mungkin boleh diadakan sebulan sekali, forum ini akan membincangkan hal-hal keugamaan. Saya fikir ia boleh dijayakan kerana kita sudah semakin ramai mempunyai ulama-ulama tempatan veteran, mempunyai para intelektual Islam di UNISSA, ITB, KUPUSB dan UBD dari kalangan anak-anak tempatan dan luar Negara. Dengan yang demikian itu kita dapat mendengar percambahan pemikiran, dan bagaimana sesuatu persoalan Islam itu dipecahkan, yang setentunya akan menyuburkan pemikiran dan minda. Dan mempertingkatkan lagi mutu kehidupan serta penghayatan kita terhadap ajaran-ajaran Islam yang murni. |